Viral

“Mana pergi derma RM10 juta” soal waris mngsa keb4karan Tahfiz, ini reaksi pengetua

PETALING JAYA: “Satu sen sumbangan berjuta-juta ringgit pun kami tak dapat, permohonan maaf jauh sekali,” itu dakwaan Zamzuri Zakaria, waris mangsa kebakaran pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Dato Keramat, Kuala Lumpur, setelah empat tahun tragedi itu berlalu.

Beliau berkata, keadaan itu memaksa ibu bapa 31 pelajar yang terkorban dan cedera dalam kebakaran itu mengambil tindakan saman terhadap pengetua tahfiz berkenaan, Mohd Zahid Mahmood dan isterinya, serta Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Kes itu sedang berjalan di mahkamah sekarang, katanya kepada FMT.

Mohammad Aidil Aqmal hanya berusia 10 tahun apabila rentung dalam kebakaran pusat tahfiz itu pada Sept 2017. Kehilangan itu masih diratapi ayahnya, Zamzuri, yang mendakwa pihak berkenaan gagal mempamerkan sebarang simpati terhadap beliau sekeluarga.

“Dari hari anak saya meninggal sampai ke hari ini, langsung tak pernah datang jenguk. Nak minta maaf macam mana? Jumpa kami pun tidak pernah. Tapi dia (Zahid) beri kenyataan pada media semua baik-baik,” dakwanya.

Beliau mahukan penjelasan berhubung peranan pengurusan sekolah dan MAIWP bersabit sumbangan orang awam – dikatakan berjumlah antara RM8 juta hingga RM10 juta – yang dikumpul untuk waris mangsa.

“Mereka tidak telus,” dakwa beliau.

FMT sudah menghubungi peguam pengetua terbabit dan dimaklumkan anak guamnya akan memberikan respons kemudian.

Perbicaraan saman sivil itu tergendala beberapa kali akibat wabak Covid-19. Tarikh baharu perbicaraan kini ditetapkan pada 5 hingga 12 Jan dan 21 hingga 22 Feb depan.

Pada 17 Ogos 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara selama diperkenankan Yang di-Pertuan Agong ke atas seorang remaja selepas didapati membakar pusat tahfiz berkenaan.

‘Bukan anak kau yang mati’

Mengimbau detik hitam September 2017 itu, Zamzuri berkata, dia melalui jalan ke pusat tahfiz itu kerana mahu membeli makanan untuk isterinya bersahur di Pasar Keramat.

Dia kemudiannya ternampak asap hitam dari arah pusat tahfiz tersebut lalu bergegas ke sana tetapi gagal menyelamatkan anaknya.

“Saya sudah ada dekat tingkat atas (bangunan tahfiz). Waktu itu saya turun naik bangunan itu sebanyak tiga kali. Saya panggil nama anak saya. (Tapi) waktu itu hanya bunyi api meletup-letup sahaja.

“Ada orang naik atas, pegang saya suruh turun. Saya marah. Saya kata ‘bukan anak kau yang mati, anak aku yang mati. Anak aku yang kat dalam,” katanya.

Akhirnya Zamzuri terpaksa menerima hakikat. “Saya telefon isteri saya, beritahu anak kami sudah tiada. Waktu tu azan subuh. Saya duduk tepi dinding. Tak ada apa yang boleh saya buat,” katanya.

Hari ini Zamzuri dan isteri hanya mengenang keceriaan anak kesayangan untuk mengubat kesedihan.

“Petang sebelum dia meninggal, saya bagi dia makan kuih sagu merah. Saya dan isteri ada datang jumpa dia.

“Masa (kami) nak balik, dia peluk saya betul-betul. Dia letak kepala dia betul-betul di dada saya. Masa tu saya tak rasa apa-apa. Lepas itu dia peluk emak dia kuat-kuat,” katanya.

‘Tak boleh buat apa, waris yang minta mahkamah bekukan RM10 juta’, kata pengetua tahfiz

KUALA LUMPUR: Pengetua Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Mohd Zahid Mahmood menjelaskan bahawa sumbangan berjuta ringgit daripada orang ramai kepada pusat itu dibekukan atas arahan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Beliau mengulas keluhan waris mangsa kebakaran kerana tidak menerima “walau sesen” daripada wang derma berjumlah RM10 juta susulan kebakaran di pusat tahfiz itu yang mengorbankan 21 pelajar dan dua guru pada 2017.

Keadaan itu antara lain memaksa waris mangsa tragedi berkenaan mengambil tindakan saman terhadap Zahid, isterinya dan Majlis Agama Wilayah Persekutuan pada tahun berikutnya.

“Yang ditularkan di surat khabar dan sebagainya, ‘ke mana perginya duit RM8 hingga juta RM10 juta’, (yang) dipersoalkan pihak waris. Jadi seolah-olah ada pihak melarikan duit itu.

“Yang sebenarnya duit RM8 juta (hingga) RM10 juta itu telah diminta dibekukan oleh mahkamah oleh pihak waris. Benda itu (wang sumbangan) memang dibekukan, jadi tak boleh buat apa,” kata Zahid.

Beliau kesal atas tindakan waris memberikan gambaran tersasar sehingga menimbulkan prasangka terhadapnya.

“Jadi kenyataan yang sebegini seolah-olah ingin memburukkan, ingin mencemarkan nama, dan juga membuat satu fitnah yang besar pada mahkamah. Seolah-olah mahkamah ini tidak relevan,” katanya kepada FMT.

Kelmarin FMT melaporkan keluhan Zamzuri Zakaria, ayah kepada anak berusia 10 tahun yang rentung dalam tragedi itu.

Antara lain Zamzuri mengimbau keadaan yang memaksa beliau dan waris lain memfailkan tindakan saman itu setelah gagal mencapai persetujuan dengan pihak pusat tahfiz mengenai sumbangan orang ramai itu.

Beliau juga kesal kerana tidak menerima sebarang permohonan maaf daripada pihak pusat tahfiz atas kebakaran yang meragut nyawa anaknya.

“Dari hari anak saya meninggal sampai ke hari ini, langsung tak pernah datang jenguk. Nak minta maaf macam mana? Jumpa kami pun tidak pernah,” kata beliau.

Bagaimanapun Zahid menjelaskan, susulan tragedi itu, beliau mengatur empat majlis tahlil dengan dihadiri pelbagai NGO, jabatan kerajaan serta syarikat swasta yang memberi sumbangan wang secara terus kepada waris mangsa.

“Selepas kejadian, kita ada buat program tahlil selama empat kali di surau Madrasah Ittifaqiyah dan setiap malam itu ada sumbangan daripada NGO yang saya sendiri kumpulkan. (Ini semua) kawan-kawan NGO saya.

“Sedikit sudah diberi, bukan daripada bahagian saya tetapi (oleh) NGO-NGO, jabatan kerajaan, syarikat-syarikat. Jumlahnya (saya) tak pasti sebab ia (sumbangan luar daripada akaun derma) sudah bermula sejak 2018.

“Yang ada dalam akaun itu, kita serah kepada mahkamah untuk buat keputusan,” jelas Zahid.


Ahmad Zaharil Muhaiyar, peguambela.
Peguam Ahmad Zaharil Muhaiyar yang mewakili Zahid berkata, pihaknya akan akur kepada apa sahaja keputusan mahkamah berhubung saman sivil itu.

“Biar mereka (waris) cakap apa sahaja. Faktanya, biar mahkamah yang tentukan apa yang mereka (waris) mahukan dan berapa (sumbangan orang ramai) yang mahkamah boleh beri,” katanya kepada FMT.

Perbicaraan saman sivil itu akan bersambung semula pada 12 Jan.

Pada 17 Ogos 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara selama diperkenankan Yang di-Pertuan Agong ke atas seorang remaja selepas didapati bersalah membakar pusat tahfiz berkenaan.

sumber: fmt

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima kasih Dan Jangan Lupa Tekan Like Page Kami Di Bawah Artikel ni.

PERHATIAN: Pihak kami tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami.

Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan  tanggungjawab anda.

Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini.

Sementara itu, anda boleh baca juga kisah-kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *