Viral

“Biarpun penat dan keluar duit sendiri, kami puas hati dapat bantu mangsa banjir”

Penat, tapi puas,” itulah luahan pemilik trak pikap, Mohamad Ridhuan Mohamad yang membantu mangsa banjir melandar di sekitar Shah Alam dan Klang, Selangor pada hujung minggu lalu.

Menurutnya, ini bukannya misi pertama dia dan rakan-rakan trak pikap daripada kelab T6 Ranger Malaya dan Trekker X Adventure yang ditugaskan bagi membantu mangsa banjir.

“Kami ini buat kerja sukarela, tidak mendapat bayaran apa-apa. Apa yang kami buat ini hanya untuk membantu mereka yang mengalami kesukaran akibat terputus hubungan akibat banjir.

“Tugas kami lebih kepada pengangkutan logistik membawa makanan, minuman dan barang keperluan asas kepada mangsa banjir yang terputus hubungan. Pada masa sama, turut jadi pengangkutan bawa mangsa banjir ke pusat penempatan sementara,”katanya.

Sebelum ini, Mohamad Ridhuan bersama-sama dengan pihak badan bukan kerajaan (NGO) pernah membantu mangsa banjir di sekitar Pantai Timur seperti Kuala Krai, Kelantan, dan Temerloh, Pahang yang mana dia mula terbabit dengan aktiviti itu sejak 12 tahun lalu.

Menurutnya, pengalaman dalam dunia pacuan empat roda (4X4) serta mempunyai jentera seperti trak pikap adalah kelebihan untuknya dan rakan-rakan untuk membantu mereka yang ditimpa kesusahan.

“Ini kerana, hanya kenderaan kami yang boleh sampai ke tempat mangsa banjir. Jadi ini adalah satu daripada tanggungjawab kami untuk membantu pihak berkuasa dan NGO bagi menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir.

“Biarpun kepenatan, kami rasa puas apabila membantu mereka yang mengalami kesusahan.

“Kami sanggup keluarkan duit poket kami untuk mengisi minyak, sanggup membaiki sendiri kerosakkan jentera semata-mata untuk membantu mereka,” katanya.

Ketika ditemuramah, Mohamad Ridhuan, dia memaklumkan sedang bersiap-siap untuk meneruskan misi bantuan mangsa-mangsa banjir di Sri Muda ,Shah Alam, Selangor.

Semoga usaha Mohamad Ridhuan dan rakan-rakan dibalas dengan sebaik-baiknya.

Sumber:motoqar.com

 
 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.